Saturday, August 21, 2010

Sejauh mana keberkesanan undang-undang siber negara?

PERTUMBUHAN pesat era teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) telah memberi satu gegaran baru kepada negara-negara membangun mahupun yang telah maju.
Namun begitu, selain daripada membawa pelbagai manfaat, seringkah kita sedar tentang impak negatif yang boleh dibawa bersama-sama era ICT ini?
Ada yang leka sehingga tidak menyedari bahawa kesan negatif yang ditimbulkan akan memberi satu bala besar kepada masyarakat dunia jika tidak ditangani dengan baik.
Pakar-pakar ICT telah meramalkan bahawa pada satu ketika apabila ledakan teknologi maklumat ini telah meluas penggunaannya, akan terjadi bermacam-macam jenayah-jenayah siber yang sentiasa menunggu peluang untuk melaksanakan misi mereka.
Ini kerana kemajuan dalam teknologi telah membolehkan berjuta-juta komputer dalam dunia dihubungkan dalam satu rangkaian yang tersangat besar melalui Internet.
Walaupun sesaat masa yang diperlukan, impak yang bakal diterima oleh mangsa adalah berpanjangan dan mungkin melibatkan maruah dan nyawa manusia.
Sehubungan itu, undang-undang siber yang dicipta di beberapa negara di seluruh dunia bagi menangani masalah jenayah siber yang berleluasa dalam Internet.
Negara kita tidak terkecuali dari mengadakan undang-undang siber sendiri.
Bagaimanapun, ia ibarat seperti melepaskan syarat untuk membuktikan negara mempunyai prosedur tertentu untuk menapis aktiviti negatif penjenayah siber.
Kewujudan undang-undang siber yang sedia ada masih belum mampu untuk menampung atau membanteras jenayah siber yang semakin bijak dan berleluasa.
Undang-undang siber Malaysia kelihatan belum cukup meluas dan merangkumi semua aspek.
Kejadian seperti membuat sabotaj dengan menyebarkan gambar-gambar berunsur porno yang tentu menjatuhkan maruah seseorang merupakan satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
Pencurian wang melalui transaksi pemindahan elektronik, pencurian nombor pin, nombor kredit card, mencuri data-data dari pangkalan data merupakan aktiviti yang sedang bergiat cergas.
Tetapi undang-undang siber negara sedia ada tidak mampu untuk membendung kes-kes seperti ini.
Sehingga kini, Malaysia telah mempunyai undang-undang siber seperti Akta Tandatangan Digital 1997 yang telah diperbaharui pada tahun 2002.
Akta ini bertujuan untuk melindungi Syarikat-syarikat korporat daripada penipuan dalam perniagaan.
- MOHD HELMY ABD WAHAB ialah Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Komputer, Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn.